Search This Blog
Wednesday, 22 October 2014
Kata-kata aluan Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Nanga Ibau ialah salah sebuah sekolah di kawasan pedalaman di pinggir Sungai Rejang yakni terletak di antara Bandar Kapit dengan Pekan Song. Murid – murid di sekolah ini datang dari dua belas buah rumah panjang iaitu Rumah Ngumbang (Nanga Sebatu), Rumah Kemarau (Nanga Entangai), Rumah Baja (Sungai Entangai), Rumah Jampong (Nanga Ibau), Rumah Jeffery Nudong (Nanga Ibau), Rumah Andrew Mujah (Nanga Ibau), Rumah Ungka (Nanga Ibau), Rumah Bubut (Sungai Ibau), Rumah Gerinsa (Sungai Ibau), Rumah Lemada (Sungai Ibau), Rumah Sana (Nanga Pepedi) dan Rumah Mamat (Nanga Buan).
Majoriti murid - murid di sekolah ini tinggal di asrama kecuali murid pra-sekolah. Seramai 217 orang murid yang belajar di sini, 90 peratus adalah kaum Iban, 5 peratus kaum Cina dan 5 peratus kaum Melayu. Tenaga pengajar seramai 19 orang termasuk Guru Besar dan Penolong Kanan, seorang guru Pra-Sekolah dan seorang Pembantu Pengurusan Murid Pra-Sekolah. Seorang Pembantu Tadbir Operasi, 2 orang Penyelia Asrama, 4 orang Pembantu Pengurusan Murid Asrama dan 2 orang Tukang Masak.
Sejak didirikan pada tahun 1961, sekolah ini telah banyak melahirkan pelajar yang cerdik pandai. Dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) hampir semua mata pelajaran mendapat keputusan yang setaraf dengan peringkat kebangsaan. Pencapaian UPSR sentiasa meningkat dari tahun ke tahun sejak lima tahun yang lepas iaitu pada tahun 2004, pencapaian UPSR adalah 60%, tahun 2005 ialah 66%, 2006 ialah 76.5%, tahun 2007 ialah 85.2% dan pada tahun 2008 ianya meningkat kepada 92.31%.
Penglibatan pelajar di luar kelas terutama dalam bidang ko-kurikulum seimbang dengan pencapaian yang cemerlang dalam bidang kurikulum. Gerak kerja yang aktif ini di buktikan lagi dengan penyertaan beberapa orang pelajar yang berjaya melayakkan diri ke peringkat daerah, bahagian, negeri dan kebangsaan. Sekolah ini saban tahun tidak ketandusan dalam melahirkan atlet-atlet yang berdaya saing dan pemain bola sepak yang handal.
Dalam era globalisasi yang semakin mencabar ini peranan dan tanggungjawab sebagai guru adalah amat berat, kerana seorang guru dituntut untuk melahirkan insan yang berilmu, berketrampilan dan bersahsiah mulia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. Oleh itu, kita perlu melaksanakan tugas dengan rasa penuh dedikasi, jujur dan ikhlas supaya segala tunjuk ajar dan asuhan dapat dimanfaatkan oleh anak didik kita sejajar dengan Visi sekolah ini ”Sekolah Berdaya Maju dan Cemerlang Menjelang 2010”.
Subscribe to:
Posts (Atom)